Aku bangun awal pagi,lebih kurang pukul 5.00 pagi. Maklumlah, hari pertama, semangat datang berkobar-kobar. Dalam hati, Allah saja yang tahu. Maklumlah, dah 6 bulan lebih aku tidak menjengukkan kakiku ke alam persekolahan. “Bagaimanalah aku akan menghadapi hari ini?”,fikirku di dalam hati.
Kami sampai awal ke sekolah, kira-kira jam 7.15 pagi. Difahamkan sesi persekolahan disini bermula pada pukul 7.45 pagi.Kelihatan, beberapa orang guru sedang berlegar-legar di perkarangan sekolah. Aku dan mereka saling bertukar-tukar senyuman dan bertegur sapa.
“Mana Bang Jep ni? Tak sampai lagi ke?”, hatiku bertanya. Memikirkan mungkin beliau sudah naik ke pejabat, aku dan suami terus mengorak langkah ke pejabat untuk berjumpa dengan Guru Besar bagi tujuan melapor diri. Kedatangan kami disambut dengan penuh senyuman. Bak kata Guru Besar SKRCB, “Kecil Tapak Tangan, Nyiru Kami Tadahkan”.
Pada mulanya, Guru Besar sendiri terkejut dengan kehadiran kami bertiga. Rupa-rupanya kami dimaklumkan telah datang 6 orang guru KPLI yang sudah menjalani seminggu praktikum di sini. “Alhamdulillah, adalah kawan aku rupanya”, kataku di dalam hati.
Kemudian, kami menghadiri sesi perhimpunan sekolah yang dimulakan tepat pada pukul 7.45 pagi waktu tempatan. Minggu tersebut adalah Minggu Bahasa Inggeris. Pada pagi tersebut, beberapa aktiviti telah disusun dan dipersembahkan dengan jayanya seperti persembahan lagu “Twinkle Twinkle Little Star” oleh murid Prasekolah, persembahan biola dan saksofon oleh anak saudara salah seorang guru di sini yang kini menuntut di luar negara.
Dalam perhimpunan tersebut juga, Guru Besar telah menyampaikan beberapa hadiah dan saguhati kepada para pemenang sempena Minggu Anti Dadah pada minggu lepas.
Setelah itu, kami berjumpa dengan Guru Penolong Kanan 1 untuk mendapatkan jadual waktu. Jadual waktu diberikan seperti mana yang ditetapkan oleh pihak maktab iaitu 8 waktu seminggu. Aku ditugaskan mengajar kelas 3 Bestari, 4 Bestari dan 4 Pintar dalam matapelajaran Pendidikan Islam.
Setelah berbincang mengenai pengagihan jadual waktu, kami bertiga terus meminta pelepasan untuk berjumpa dengan Guru Makmal Komputer iaituy Encik Nor Khushairi. Kami dimaklumkan bahawa bilangan komputer yang boleh digunakan di dalam makmal hanya sebanyak 4 buah sahaja. Timbul kebimbangan pada diri kami, bagaimana untuk melaksanakan praktikum jika keadaan begini berterusan.
Atas rasa keyakinan dengan keupayaan diri sendiri, kami bertiga meminta izin untuk membaik pulih komputer-komputer yang rosak. Dengan bimbingan Encik Md Abu Fadrey; suamiku, yang memang cukup berpengalaman dalam kerja membaik pulih komputer, kami berjaya menambah angka komputer yang elok kepada 8 buah.
Tersenyum Guru Besar bila disampaikan berita baik kepada beliau. Kami mula menaruh keyakinan untuk meneruskan praktikum ini. Kami berazam untuk menambah angka ini kepada angka yang lebih tinggi pada hari seterusnya. Insyaallah.
Kerja-kerja membaik pulih dihentikan pada jam 2.30 petang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan